DILANCARKAN Mei lalu, trak pikap Toyota Hilux yang merupakan generasi kelapan sememangnya menjadi model pilihan dan dinanti-nanti masyarakat di negara ini.

Reputasi tinggi dari segi jualan generasi terdahulu yang melebihi 200,000 unit sejak 2005 kini meneruskan kesinambungan bagi memastikan ia terus berada di hati penggemar jentera trak pikap.

Perubahan ketara model terbaharu ini adalah elemen penting menerusi penampilan, prestasi enjin, keselesaan dan keupayaan pengendalian.

PEMANDUAN SELESA

Penulis yang diberikan peluang menguji jentera pikap ini menggunakan sepenuhnya Toyota Hilux 2.8G AT  dengan memilih laluan sekitar Bandar Seri Putra menuju Nilai dan Mantin menggunakan laluan off road dan selekoh serta lebuh raya.

Perjalanan dengan Hilux ini adalah senyap dan selesa terutama sekali di lebuh raya, dengan pengendalian yang mantap dan agak tepat bagi sebuah kenderaan yang begitu besar. Ia begitu lancar dan terkawal sehinggakan anda akan perlu kerap menjeling ke meter kelajuan untuk memastikan masih kekal dalam had laju yang dibenarkan.

Pada kelajuan rendah di jalan yang berlopak dan beralun, anda mungkin berasa terumbang-ambing sedikit kerana suspensinya, namun boleh dimaafkan bila kita mengingati bahawa ia adalah sebuah trak.

Namun begitu, pengendalian Toyota ini tetap menyeronokkan dengan kuasanya yang responsif serta tidak memerlukan banyak tenaga untuk mengarahkannya menjalankan kerja.

KUASA SEPADAN

Perbezaan ketara yang boleh dilihat berbanding generasi terdahulu adalah perubahan rangkaian kuasa di mana menggunakan enjin baharu Global Diesel (GD) dengan varian 2.8 liter.

Biarpun memiliki saiz kapasiti enjin lebih kecil berbanding sebelum ini, kuasa maksimum dan tork adalah tinggi selepas dipadankan dengan teknologi baharu.

Malah, ia menyediakan kuasa kilas akhiran rendah yang bertenaga, tindak balas terbaik untuk pecutan, berkeupayaan meredah laluan ekstrem dengan mudah dan paling penting adalah jimat minyak.

Enjin 2.8 liter menawarkan 25 peratus lebih jimat minyak berbanding rangkaian kuasa terdahulu iaitu 3.0 liter, malah pertukaran gear juga lancar serta menawarkan kuasa pecutan yang terbaik selepas menggunakan transmisi enam kelajuan automatik.

Aspek keselamatannya juga tidak dilupakan, bagi varian 2.8G, tujuh beg udara disediakan. Dengan penarafan Asean NCAP 5 bintang, ia dilengkapi dengan senarai ciri keselamatan terkini dan terlengkap selain daripada ciri yang biasa seperti kawalan kestabilan kenderaan (VSC), ABS dengan EBD, Hill-start Assist Control (HAC) dan ISOFIX di tempat duduk belakang, Hilux juga disertakan dengan Trailer Sway Control (TSC).

REKAAN MENARIK

Ruang kabinnya tampak seperti rekaan sebuah SUV, manakala bahagian papan kelihatan padat dengan teknologi baharu terutama varian tertinggi selepas didatangkan skrin sesentuh bersaiz 6.1 inci.

Kerusi hadapan lebih selesa kerana dicipta seperti kenderaan premium sedan dan kerangkanya lebih nipis bagi menambah ruang kaki sehingga 10mm kepada penumpang belakang.

Banyak kerja pengubahsuaian dilakukan Toyota demi menjadikannya lebih seperti ruang kabin sebuah SUV. Dengan rekaan papan pemuka kemas serta kemasan premium yang terasa mahal pada sentuhan, ditambah pula dengan roda stereng kulit dan tempat duduk yang boleh dilaras kedudukannya menggunakan kaedah elektronik, penulis mendapati Hilux selesa untuk kegunaan setiap hari.

Bahagian pemuka hadapan juga mempunyai penyimpan kedua yang berfungsi untuk menyejukkan botol air, selain mempunyai ruang meletak barang di bawah tempat duduk bagi menyimpan barangan berharga dan bagi penulis ia begitu selesa meredah laluan lebuh raya mahu pun off road.

-Sinarharian

Post a Comment