SEJAK dilancarkan 2005, Hilux menjadi antara model terlaris Toyota di Malaysia dengan jumlah jualan melebihi 200,000 unit dan kini setelah sekian lama menanti, UMW Toyota Motor akhirnya memperkenalkan Toyota Hilux baharu, tampil dengan rekaan lebih segar dan prestasi lebih berkuasa.

Tampil dalam versi generasi ke lapan, Hilux serba baharu didatangkan dalam enam varian menerusi konfigurasi Satu Kabin dan Dua Kabin. Dua pilihan enjin ditawarkan iaitu 2.4 liter dan 2.8 liter.  Harga jualan bermula serendah RM89,900 hingga RM133,900 dan didatangkan dengan siri enjin baharu  Global Diesel (GD).

Walaupun memiliki saiz enjin kecil berbanding enjin sebelum ini (2.5 liter dan 3.0 liter), output (kuasa enjin dan kuasa kilas) adalah lebih tinggi.

Semua enjin kini dilengkapi dengan transmisi manual enam kelajuan atau transmisi automatik yang diuruskan secara elektronik serta pecutan lebih tinggi ,bunyi dapat direndahkan selain menawarkan penjimatan bahan api.

Satu lagi ciri utama generasi baharu ini ialah casis lebih kuat selain kerangka badan baharu Hilux yang mempunyai 45% lebih lagi titik impalan bagi menambah baik ketegaran badan. Plat besi tegangan tinggi juga digunakan pada bahagian atas dan bawah badan bagi menambah baik kekuatan dan keselamatan tetapi tidak menambah beratnya.

Penambahbaikan struktur terkini menjadikan kerangka badan lebih tahan lama, meningkatkan keselesaan dan pengendalian pemanduan. Keselamatan pelanggaran juga dipertingkatkan kerana  kerangka casis lebih kuat dan memiliki penyerapan impak yang lebih baik.

REKA BENTUK MENARIK

Sekilas pandang, varian 2.4L dan 2.8L tampak sama. Bagi membezakan identitinya, Hilux 2.8L dipadankan dengan lampu utama projekter LED manakala varian 2.4L menggunakan lampu halogen. Hilux baharu dipadankan dengan lampu kabus, gril, bampar belakang, pemegang pintu dan cermin sisi disaluti krom.

Ruang dalaman kedua-dua varian tampak lebih menarik berbanding versi terdahulu. Ruangan papan pemuka tampak ringkas dan mewah dengan kehadiran audio dengan skrin sesentuh 6.1 inci yang dihubungkan dengan enam unit pembesar suara. Ia juga didatangkan dengan sistem kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin. Paparan meter pula tampak sama seperti yang digunakan pada Toyota Camry dengan kehadiran skrin TFT MID bersaiz 4.2 inci.

Trak pikap ini dijana dengan dua pilihan enjin turbo diesel baharu Enjin 2GD-FTV 2.4 liter berupaya menjana 150 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,000 rpm. Manakala enjin 1GD-FTV 2.8 liter pula berupaya menjana 177 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 hingga 2,400 rpm. Kedua-dua enjin ini menggantikan enjin turbo diesel 2.5 liter 2KD-FTV dan juga enjin 3.0 liter 1KD-FTV pada generasi terdahulu.

Walaupun berkapasiti lebih kecil, enjin siri GD baharu ini dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api terus common-rail dan sistem turbo VNT bertekanan lebih tinggi, membolehkan ia mengekstrak lebih kuasa di samping menggunakan bahan api dengan lebih cekap.

Biarpun dikenali sebagai trak pikap, aspek keselamatan tidak dilupakan. Toyota Hilux baharu dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Kawalan kestabilan Kenderaan (VSC), tujuh beg udara,  (2.8G), ISOFIX dan Trailer Sway Control (TSC).

RASAI KEHEBATAN

Penulis yang diberikan kesempatan memandu Toyota Hilux 2.8G Automatik bagi ujian offroad merasai kehebatan apabila melalui ujian pertama yang menguji kehebatan trap pikap terbabit dengan sistem Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC).

Sistem tersebut kedengaran seperti menggunakan limited slip differential aktif membolehkan pindahan tork dilakukan kepada tayar yang kehilangan cengkaman. Tetapi sebenarnya tidak, kerana sistem ini sebaliknya hanya menggunakan hardware daripada sistem ABS untuk memanipulasi agihan tork pada kedua-dua belah tayar melalui unit differential biasa membolehkan Hilux dipandu ke hadapan. Ujian seterusnya melibatkan pemanduan di laluan berlumpur, halangan berbatu, kawasan lopak air mudah ditempuhi trak pikap ini yang memberikan kepuasan serta kenikmatan kepada penunggang.

Selesai ujian off road, ujian jalan raya sekitar Shah Alam dan Klang pula dilakukan dan jelas ia tidak berdepan masalah untuk meluncur laju tanpa halangan sama ada dalam keadaan permukaan jalan kering atau sebaliknya.-Sinarharian

Post a Comment