image : Paul Tan

KARAKTER Isuzu D Max yang kukuh diserlahkan lagi menerusi pengenalan model Isuzu D-Max Beast. Penampilannya yang tersendiri dan ekspresif bersama gabungan skim warna kontras nyata menyerlahkan gaya berani dan individualistik.

Isuzu Malaysia hanya mengeluarkan 360 unit D-Max Beast. Edisi terhad itu dikeluarkan dengan dua pilihan warna asas iaitu putih dan perak, Ini memberikan model berkenaan karakter yang lebih kuat.

Antara kemas kini yang diterima model berkenaan ialah gril berwarna kelabu gelap dan hiasan pada bonet menggantikan kemasan krom sebelumnya. Selain itu, bahagian bampar dicat dengan warna hitam matte bersama plat kemasan perak. Ini memberikan penampilan hadapan lebih rugged.

Sementara itu, perumah lampu utama kini berwarna hitam bersama lampu nyalaan siang LED menawarkan ekspresi wajah maskular. Pada pandangan sisi lebih menyerlah dengan rim aloi 17 inci yang direka eksklusif.

Penampilan itu dilengkapkan dengan kemasan warna hitam pada hendal pintu, rel bumbung, perumah cermin sisi dan pemijak tepi. Bahagian badan D-Max Beast turut dilekatkan dengan pelekat eksklusif bagi memberikan imej kontra.

Bukan itu sahaja, semburan cat hitam dikemaskan pada bahagian hendal pemegang belakang, bampar dan pelindung lampu belakang.

Pikap trak juga sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup penggunaan bandar. Justeru itu, Isuzu Malaysia menawarkan pelbagai kelengkapan antaranya bar belakang berpenutup yang boleh dikunci, aero spoiler dan bed liner.

Bahagian kabin, kerusi menerima menerima balutan kulit, logo BEAST pada bahagian penyandar dan karpet, panel pemijak kaki besi tahan karat diiluminasi logo LED Isuzu serta kemasan kabin tona kelabu gelap. Bahagian hiburan kini ditawarkan dengan multimedia Kenwoo bersama skrin sentuh bersaiz 6. 2 inci dan paparan kamera undur.

Isuzu D-Max Beast boleh didapati dengan transmisi automatik 4x4 dan enjin 2. 5 liter atau 3. 0 liter. Enjin 2.5 liter mampu menghasilkan kuasa 136PS dan tork 320Nm pada 1,800 sehingga 2,800rpm. Manakala enjin 3.0 liter menjana kuasa 177PS dan tork 380Nm pada 1,800 sehingga 2,800rpm. Untuk keselamatan, D-Max Beast menerima dua beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Keselamatan Elektronik dan Sistem Kawalan Tarikan.

Harga model ini ialah RM119, 559. 44 bagi varian 2. 5 liter dan dan RM127, 5471. 56 bagi 3.0 liter.


Post a Comment