Hadir dalam dua varian 2.7 Liter SRZ dan 2.4 Liter VRZ masing-masing ditawarkan pada harga RM199,900 dan RM186,900 dengan pelanggan mempunyai pilihan untuk enjin 2.7 liter petrol yang telah terbukti atau enjin 2.4 liter turbodiesel yang baharu dibangunkan.
LEBIH SELESA
Perubahan dalam reka bentuk adalah agak mengagumkan kerana model itu kini memiliki penampilan lebih premium dan memandangkan penggunaan lebih tinggi di lebuh raya serta pecutan, prestasi aerodinamik juga diberikan penekanan.
Ruang dalam yang lebih cenderung kepada kereta penumpang berbanding sebelum ini, dengan bahan berkualiti tinggi dan ciri kemudahan tambahan yang pastinya akan menarik minat pengguna SUV.
Untuk pemanduan lebih selesa, paras bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) telah diturunkan dengan banyaknya sehingga penumpang tidak akan percaya ia adalah trak pikap atau SUV. Banyak usaha dilakukan untuk mengekang NVH antaranya menambah baik struktur badan yang membantu bunyi jalan dan mekanikal memasuki kabin serta penggunaan besar bahan penyerap.
Fortuner baharu ini juga menggunakan Sistem Nyalaan Tekan dan Masuk Pintar, selain pintu kuasa belakang Fortuner 2.7 SRZ yang membolehkan pintu belakang dibuka dan ditutup hanya dengan sentuhan butang di mana ciri ini biasanya terdapat pada model SUV yang mahal.
ASPEK KESELAMATAN
Selaku peneraju automobil, Toyota sentiasa peka dengan keperluan untuk memastikan kenderaannya selamat digunakan.
Misalnya, ABS adalah ciri standard dengan penyediaan tiga beg udara SRS hadapan dan tali pinggang keledar secara automatik menarik tali pada 3 titik bagi setiap penumpang selain terdapat 4 beg udara tambahan pada luaran kerusi hadapan serta tingkap.
CIRI BAHARU
Ciri baharu yang ada pada Fortuner ini ialah Active Traction Control (A-TRC) yang menyerupai fungsi limited-slip differential (LSD) untuk memastikan cengkaman semasa memandu di permukaan mencabar.
Bagi Toyota Fortuner 2.4 VRZ, ia dipadankan dengan enjin turbo diesel bersesaran 2.4L yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 148hp pada 3,400rpm dan tork puncak 400Nm (1,600 – 2,000rpm), manakala 2.7 SRZ pula dijana unit enjin petrol bersesaran 2.7L. Hasil bantuan kotak gear transmisi automatik 6-kelajuan, ia mampu menghamburkan kuasa 164hp pada 5,200rpm dan tork 245Nm (4,000rpm).
TEPATI RAMALAN
Sehari sebelum pelancaran Fortuner baharu, pihak UMW Toyota telah mengadakan sesi uji pandu ringkas untuk media dan peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya penulis untuk merasai kehebatan jentera baharu ini.
Menepati ramalan apabila Fortuner baharu ini mempamerkan keistimewaan terutamanya melalui laluan offroad dengan permukaan berlopak, berbatu bata selain menaiki kawasan tinggi. Kelebihan memiliki A-TRC begitu berkesan hingga penulis tidak gusar walaupun pada awalnya perasaan tersebut menghantui penulis jika dilihatkan laluan yang bakal ditempuhi semasa ujian off road.
Bagi ujian di jalan raya, Fortuner ini sememangnya berjaya menarik minat pemandu mahupun pengguna kenderaan yang lain jika dilihatkan reka bentuk dalaman dan luaran yang dimilikinya.
Bergerak lancar dan mudah dikendalikan selain memiliki daya pecutan bertenaga, ternyata Fortuner baharu ini dihasilkan memenuhi kehendak semasa. -Sinarharian


Post a Comment