SEBELUM melangkah ke bilik pameran untuk membeli Jeep Wrangler Unlimited Sahara 2015. Tanya dahulu soalan mudah ini. Adakah anda merancang untuk meluangkan masa di off road.

Saya maksudkan tentang hujung minggu yang penuh dengan lumpur, meredah sungai dan pelbagai keadaan muka bumi yang lasak.

Jika jawapannya ‘ya’, teruskan hajat untuk memilikinya. Kerana anda tidak akan kecewa dengan keupayaan yang ditawarkan oleh Unlimited Sahara. Ia berurusan dengan baik dalam apa juga keadaan topografi alam semulajadi. Namun begitu, jika tertarik  dengan imej dan gaya Jeep, maka anda mungkin mahu terus membaca dan menganalisis jika ia terbaik untuk keperluan harian.

Jika anda lebih lama mengenali model Wrangler seawal dua dekad lalu, mungkin sudah biasa dengan bentuk Unlimited Sahara 2015 ini. Kehadirannya jelas dengan rekaan masih berkotak dan lampu bulat. Wrangler adalah antara beberapa kereta di atas jalan yang tidak mungkin berubah rupanya.

Namun begitu, ia masih relevan sehingga kini. Seperti mana Rubicon, setiap bentuk tubuh Sahara direka ada tujuannya. Ia turut didatangkan dengan pakej kunci Torx. Yang mana pemilik boleh membuka setiap bahagian badan Sahara.

Dengan syarat anda mempunyai tempat untuk menyimpan semua kepingan pintu dan bumbung.  Selain memerlukan bantuan beberapa rakan untuk mengangkat bahagian-bahagian yang lebih berat.  Memacu Wrangler tanpa pintu dan bumbung  amat disyorkan untuk pembeli, sekurang-kurangnya sekali untuk mendapatkan pengalaman penuh.

Tidak perlu gusar. Walaupun tanpa pintu dan bumbung, keselamatan penumpang masih terjamin. Ini kerana Unlimited Sahara dilengkapi ‘roll cage’. Terutama memandunya di laluan ekstrem.

Penampilannya yang kukuh dan maskulin juga sentiasa menarik perhatian pengguna lain. Tambahan warna badan Sunset Orange Pearl pada unit pandu uji menyerlahkan lagi identitinya.

Masuk ke kabin sebenarnya memerlukan sedikit usaha. Saya menghargai dengan adanya pemijak kaki di bahagian tepi. Peralatan itu cukup membantu bagi individu rendah seperti saya (156 sentimeter). Tidak seperti Rubicon yang memerlukan saya berpaut pada tiang A untuk masuk ke kabin.

Sebaik duduk di kerusi, secara cepat anda mendapatkan posisi duduk yang tinggi. Ini menyumbang kepada peningkatan penglihatan. Dataran hud yang luas sebenarnya masih mengehadkan sedikit pandangan ke depan. Tetapi sebaik anda mula serasi dengan saiz dan lebar kereta tiada lagi masalah.

Namun, masih perlu berhati-hati. Kedudukan tayar yang sedikit terkeluar, bampar depan yang panjang dan tayar simpanan di belakang memerlukan pemandu sentiasa berwaspada. Bahkan memandu sekitar bandar memerlukan saya sentiasa memerhati cermin sisi. Malah setiap kali ingin parkir, saya terpaksa mengeluarkan kepala pada cermin tingkap untuk memastikan kedudukannya di dalam petak parkir.

Menyentuh soal dalaman. Tidak banyak yang ingin diulaskan. Reka bentuk kabin secara keseluruhan adalah praktikal. Tetapi tidak menarik. Namun begitu dengan sokongan kerusi bucket kemasan kulit bersama ciri pemanas, stereng dan tombol gear balutan kulit memberikan sedikit dandanan.

Soal ruang juga menurut saya masih lagi lega. Terdapat banyak ruang untuk meregangkan badan. Ruang adalah cukup untuk kepala, pinggul dan bahu. Kelompok butang kawalan juga lebih tradisional dan berada dalam lingkungan capaian pemandu.  Cuma butang kawalan tingkap di konsol tengah membuatkan anda tercari-cari ketika pertama kali memandu Wrangler. Ia tidak diletakkan di tepi pintu seperti kebiasaan.


Pemanduan harian bukan untuk Sahara

Beralih kepada jana kuasa. Umum mengetahui, pengeluar jentera Uncle Sam lebih selesa menggunakan enjin berkapasiti besar aspirasi natural. Tidak seperti pengeluar lain yang sudah beralih kepada jana kuasa lebih kecil dengan pengecas turbo.

Wrangler Unlimited Sahara dilengkapi enjin V6 3.6 liter. Pemanduan Unlimited Sahara lebih banyak dihabiskan di dalam bandar. Bermakna saya lebih banyak mengulas tentang kelemahan berbanding kekuatannya. Sedangkan kita mengetahui karakternya terserlah ketika meredah hutan belantara.

Pecutan yang dihasilkan padat dan cukup responsif. Agak menarik untuk kenderaan jenis ini dan saiznya yang bagak. Enjin juga cukup lancar pada pemanduan santai. Malah memandunya 110 kilometer sejam di lebuh raya juga memuaskan.  Dengan kitaran enjin sekitar 1,500rpm.

Sepanjang pemanduan bersama Unlimited Sahara tidak terlintas langsung untuk memecut. Kerana Sahara lebih selesa dipandu santai pada jalan biasa. Kotak gear lima-kelajuan automatik juga lancar.  

Perjalanan adalah selesa pada apa sahaja keadaan pemanduan. Tetapi  penggunaan suspensi gandar solid tugas berat bersama gegelung spring menyumbang kepada gejala lantunan apabila brek ditekan pada tempoh singkat. Atau ketika melalui bonggol dan jalan berlubang.

Malah,  sifat semula jadi bagi kenderaan yang dilengkapi gandar depan yang kukuh lebih menyumbang kepada kekuatan melebihi ketangkasan. Ditambah dengan tayar yang besar.  Menggabungkan semua ini bersama radius pusingan sedikit mencabar bagi pemanduan harian persekitaran bandar.

Tetapi, susun atur suspensi tegap menjadikan kenderaan lebih stabil. Olengan badan juga begitu minimum.

Cuma, satu perkara  yang kurang menarik ialah stereng. Hubungan secara langsung tidak terjalin dan sering ‘merayau’ pada kelajuan lebuh raya. Sehinggakan saya  perlu berterusan memberikan input pada stereng untuk menjaga Sahara kekal lurus.

Kedapan kabin juga masih di tahap memuaskan. Cuma sesekali bunyi enjin dan angin dapat didengar dengan jelas ketika Unlimited Sahara melaju di lebuh raya.

Sesekali ingin beraksi lasak di hutan atau berkhemah. Wrangler Unlimited Sahara tiada masalah untuk itu. Kerana kemampuan off roadnya sudah terbukti. Sistem pacuan empat rodanya juga cukup mudah. Dari mod 2WD, hanya perlu menarik tombol gear untuk mendapatkan pacuan empat roda (sama ada 4L dan 4H). Kotak gear Command-Trac NV241 GII akan mengagihkan kuasa kepada semua tayar.

Secara objektif, Jeep Wrangler Unlimited Sahara adalah jaguh apabila bermain dengan lumpur ataupun permukaan berbatu. Namun, peminat setia  Unlimited Sahara mungkin tidak mengendahkan pengendaliannya yang kasar di kawasan bandar.

Ini kerana mereka sudah maklum tentang  keseronokan memandunya di padang berlumpur atau hutan belantara. Jika itu alasannya, maka anda sudah menemui cinta sejati. Tetapi jika anda sedang mencari pengangkutan keluarga moden, mungkin perlu  mempertimbangkan pilihan lebih teliti.

Kerana Unlimited Sahara  lebih kepada pemain simpanan untuk kereta harian atau keluarga. Mungkin anda boleh pertimbangkan model Grand Cherokee atau Cherokee sekiranya masih menginginkan lencana Jeep di hud hadapan.

Post a Comment