JENTERA ini telah melalui pelbagai cabaran apabila dilenjan semaksimum mungkin oleh pemiliknya yang menggemari sukan off road satu ketika dulu.

Namun sekarang, ia telah dinaiktarafkan bagi memberikan persembahan yang lebih hebat di atas jalan raya biasa.

Dalam bidang modifikasi ini sukar sekali untuk memaparkan model 4x4. Namun begitu, kali ini Sinar Turbo akan mempersembahkan sebuah jentera yang memiliki sebuah kuasa menggiurkan sesiapa sahaja dalam kategorinya.

Bagi mereka yang menggemari sukan lasak atau lebih dikenali dengan ‘off-road’, jentera seperti ini mungkin akan menjadi pilihan utama anda bagi memberikan kepuasan yang sebenar.

Mitsubishi Triton L200 ini dahulu sebenarnya pernah diasak dengan rakusnya oleh pemiliknya di kawasan yang penuh dengan selut, jalan yang tidak dilalui oleh kenderaan biasa malah dikelilingi dengan pelbagai halangan yang beliau sendiri tidak sangkakan.

Setelah beberapa ketika, saudara Affendi telah membuat keputusan untuk bersara dari sukan lasak. Namun minatnya tidak hanya terkubur di situ.

Jentera kesayangan beliau menerima proses transformasi semula dengan beberapa naik taraf yang lebih hebat dan menarik.

Enjin bersesaran 2500cc dirombak semula dengan beberapa peralatan prestasi yang tidak keterlaluan tetapi mampu menghasilkan kuasa yang hebat.

Sistem kuasa turbo asal digantikan dengan turbo TD04 HL yang diambil dari model RVR Wagon sebagai kesesuaian terhadap sistem bahan api yang menggunakan diesel.

Udara luar yang disedut masuk akan melalui penapis udara HKS ‘open port’ bagi menjamin tiada bahan asing memasuki ruangan dalam enjin.

Untuk penyejukan udara, jentera turut dipasang dengan intercooler bersaiz sederhana hasil teknologi dari Jasma yang telah diletakkan di hadapan muncung hadapan.

Unit elektronik asal yang telah di reflash dengan bantuan Unichip digabungkan bagi menguruskan pergerakan enjin menjadi lebih lancar dan lebih berkuasa bagi penjanaan yang lebih bertenaga.

Kuasa yang dihasilkan seterusnya akan dihantar ke kotak gear yang telah dilengkapi dengan klac berprestasi tinggi Beral Racing 3 kaki yang mampu menjamin tiada gelinciran kuasa semasa enjin di desak pada kuasa maksimum.

Untuk sesebuah jentera yang sebegini, sistem suspensi juga turut diambil kira agar tidak mengganggu prestasi semasa jentera ini dipacu dalam apa jua keadaan. Oleh demikian, set suspensi boleh laras dari jenama Armada Extreme dipasang bagi kesesuaian yang diperlukan oleh pemiliknya.

Untuk pemberhentian, jentera ini masih lagi mengekalkan sistem brek yang asal namun dipakaikan dengan pelapik brek yang berprestasi tinggi untuk keselamatan lebih maksimum.

Menjenguk ke ruang dalaman, jentera masih lagi mengekalkan penampilan yang asal. Pengendalian jentera ini dilakukan melalui stereng OMP yang telah dipasangkan untuk tujuan prestasi.

Di atas papan pemuka, kelihatan meter paparan bagi kawalan boost Sard, meter suhu air dan juga suhu ekzos dari Auto Gauge diletak kemas menghadap pemandu di samping penggunaan beberapa meter yang lain seperti boostcut dan monster cut ECU Shop dan pemasa turbo dari HKS.

Penampilan luar pula tampak lebih menonjol dengan hiasan pelekat Super Hero yang menghiasi bahagian belakang serta kombinasi warna yang tampak garang.

Akhir sekali, jentera ini dipasangkan dengan rim Advan RGS berukuran 18 inci berserta tayar berukuran 285/60 R18. Walaupun ianya adalah sebuah jentera 4X4, anda jangan sesekali mencabar kewibawaannya. Pasti tidak kecewa.

Post a Comment