MODEL trak pikap milik Mitsubishi yang dinamakan sebagai Triton adalah model terlaris di pasaran tempatan. Sejak dilancarkan pada 2006, lebih daripada 56,000 unit terjual di seluruh negara.

Sudah pun berada di pasaran global selama 37 tahun, kini model Triton tiba ke generasi kelima. Pihak pengeluar model tersebut telah memberi satu definisi baharu pada model Triton berkenaan yang dibangunkan dengan konsep sebagai Trak Utiliti Sport Ultimate.

Definisi itu diberikan kerana Triton menggabungkan keselesaan ruang dalaman kereta penumpang dengan fungsi-fungsi dan keupayaan sebuah pikap ditambah dengan reka bentuk atlet yang cergas.

Reka bentuk depan Triton diserlahkan dengan reka bentuk jeriji tersendiri yang memberikan pandangan 3-dimensi yang teguh pada bonet. Dilihat daripada sudut profil, Triton serba baharu memiliki reka bentuk arus ke hadapan dan `garisan J’ di antara kabin dan dek belakang.

Sama seperti generasi Triton sebelumnya, pihak Mitsubishi menampilkan  ciri-ciri pertama dalam kelasnya seperti Butang Tekan Nyala, Operasi Tanpa Kunci, Lampu Hadapan Xenon HID yang disepadukan dengan Lampu Pasang Siang, Kemudi Roda Telescopic dan Tilt berserta Padel Pengubah untuk kawalan manual kepada transmisi automatik apabila pemandu mahu menggunakannya. Malah radius pusingan 5.9 meter adalah yang terbaik dalam kelasnya dan kecekapan heretan rendah sebanyak 0.42.

Selain itu, ciri-ciri baharu Triton serba baharu termasuk pilihan 4WD, Sistem Audio Sentuhan Paparan dengan Kamera Mengundur, Audio Lampu Depan dan Penggilap Cermin, dan Kawalan Suhu Dua Zon.(Ciri-ciri bagi setiap varian adalah berbeza.)

Menyentuh soal keselesaan Triton serba baharu memiliki peningkatan 20 milimeter (mm) bagi ruang kaki dan 10mm lebih pada ruang bahu. Konfigurasi Triton ialah 5280mm panjang (berkurangan 15mm), 1815 lebar (meningkat 15mm) dan 1780mm tinggi. Jarak permukaan jalan adalah pada 205mm pada kesemua varian 4x4.

Di bawah hudnya tersedia enjin 2.5 liter Variable Geometry Turbocharger (VGT) bersama intercooled yang dikemas kini. Enjin berteknologi maju Doyble Overhead Cam (DOHC) turbodiesel 16 injap bersama sistem common-rail itu  menghasilkan kuasa 178 PS pada 4,000 rpm dan tork 400 Nm pada 2,000 rpm (50 Nm lebih kilas berbanding model sebelum ini).

Bagi pelanggan yang lebih berasaskan perniagaan, Triton Quest 4x2 serba baharu kini dipasang dengan enjin 2.5 liter turbodiesel dengan sistem commonrail bertekanan tinggi. Enjin yang telah terbukti ini memiliki output 110 PS dan kuasa kilas 200 Nm.

Penghantaran kuasa ke roda dibantu dengan transmisi 5 kelajuan automatik dengan mod Sport atau 5 kelajuan manual.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Won-Chul Yang Triton adalah sasaran jualan yang ditetapkan oleh MMM bagi Triton serba baharu ialah 900 unit sebulan iaitu 20 peratus penguasaan pasaran dalam segmen trak pikap di Malaysia.

Diimport sepenuhnya dari Mitsubishi Motors di Thailand, Triton ditawarkan dalam lima varian bersama penyenggaraan percuma 2 tahun dan waranti kilang 3 tahun atau 100,000 km pertama. Bagi 2,000 pelanggan pertama yang menempah dan mendaftar Triton serba baharu akan menerima Kad Ganjaran PETRONAS percuma bernilai RM138 untuk Dynamic Diesel. Tertakluk kepada terma dan syarat. -Sinarharian


Post a Comment