Jika diamati generasi Peugeot sebelum ini perlu berjuang untuk seiring dengan pesaingnya. Namun, model 308 terkini itu adalah satu langkah besar ke hadapan. Menerusi penampilan yang lebih baik dan kabin bercita rasa mewah menawarkan pakej pemilikan menarik buat 308 ditambah dengan efisien bahan api yang cemerlang.
Bahkan rekaan terdahulunya yang mudah dilupakan kini digantikan dengan bentuk sofistikated. Malah pada pandangan pertama ia mirip jentera Jerman, Golf.
Bukan saja memiliki wajah baharu, model dalam segmen-C itu juga dilengkapi dengan platform baharu EMP2 mewakili susun atur yang biasa dilihat: enjin melintang dan kotak gear di depan, pacuan roda depan dengan suspensi topang di depan dan torsion beam di belakang.
Malah penggunaan platform itu menyumbang kepada berat lebih ringan 70 kilogram (kg) berbanding struktur PF2 terdahulu. Kejayaan itu dicapai menerusi penggunaan bahan keluli kekuatan tinggi, aluminium dan komposit termoplastik pada pelbagai panel. Bahkan ia juga membolehkan pihak Peugeot mengurangkan berat model 308 sebanyak 140kg.
Selain itu, sistem penyejukan enjin 308 yang direka bentuk semula juga membenarkan pihak Peugeot membawa keluar 63 milimeter (mm) pada overhang depan.
Justeru, model 308 terkini lebih pendek 30mm berbanding sebelumnya dan baki ruang 33mm yang boleh digunakan disumbangkan ke but agar dapat menawarkan kapasiti lebih besar.
Model yang telah diuji sejauh 2.5 juta kilometer itu dilengkapi enjin 1.6 liter pengecas turbo berkembar tatal THP yang mampu menghasilkan kuasa 152PS pada 5000rpm dan tork 240Nm pada 1450rpm.
Sementara itu, pengaruh bahasa reka bentuk baharu Peugeot boleh dilihat pada 308. Menggunakan isyarat daripada Supermini 208 dan Crossover 2008, jentera baharu itu menggantikan reka bentuk lama yang kurang berinspirasi dan bulat dengan pendirian yang lebih tegak seperti sebuah jentera Jerman.
Peugeot 308 boleh dikatakan salah satu jentera terbaik dalam kelasnya menerusi penggayaan lampu yang tirus dan jeriji tajam serta lampu depan teknologi LED penuh menambah sentuhan berbeza dalam kelasnya.
Masuk ke kabin, kemasan mewah dan sentuhan plastik keras dan lembut boleh ditemui pada bahagian dalamnya.
Tawaran bumbung panorama sehingga ke bahagian belakang menawarkan pencahayaan dan rasa lapang dalam kabin.
Selain itu, susun atur papan pemuka adalah ringkas tanpa tawaran butang kawalan. Kebanyakan sistem dikawal melalui skrin sentuh 9.7 inci HD pada bahagian tengah.
Namun begitu, melaksanakan tindakan yang mudah seperti menyelaras suhu kabin boleh memakan masa kerana perlu mencari pada sub menu di skrin.
Berpeluang memandu 308 sebelum pelancaran, secara ringkasnya platform serba baharu menyediakan satu gabungan keselesaan dan pengendalian tajam.
Pada keseluruhannya, Peugeot telah melaksanakan janjinya untuk lebih dinamik dan tangkas di selekoh.
Walaupun wujud kehadiran turbo lag di awal pecutan dan memerlukan sedikit masa untuk membangunkan kelajuan, namun 308 THP sebuah jentera yang selesa untuk perjalanan jauh.
Dilancarkan secara rasmi semalam, harga jualannya RM132,888 (termasuk insurans). -Sinarharian
Post a Comment