Mazda2 berkembang secara signifikan berbanding generasi sebelumnya. Paling utama adalah penggunaan teknologi SkyActiv turut digunakan pada Mazda2.
Kerana itulah model Mazda2 kini sudah mirip dengan Mazda6 atau CX5 iaitu saudara-saudaranya yang terlebih dahulu memakai Skyactiv.
Pada segmen pandu uji kali ini, saya menerima versi diesel terlebih dahulu. Walaupun model Mazda2 petrol dilancarkan ke pasaran Malaysia, pihak Bermaz Motor Sdn Bhd ada membawa masuk model diesel yang diimport (CBU) dari Jepun.
Kerana itulah pada bonet belakang, anda akan menemui lencana Demio. Tetapi model itu digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan Mazda. Bukan untuk dijual buat masa ini.
Berdasarkan penelitian saya di laman web Mazda Jepun. Model diesel berkenaan merupakan varian XD Mid Century. Ia dijana enjin 1.5 liter Skyactiv-D DOHC yang mampu menghamburkan kuasa 105PS pada 4000rpm dan tork setinggi 250Nm yang dicapai seawal 1500 sehingga 2500rpm.
Di negara matahari terbit itu, Mazda menawarkan pilihan pacuan dua roda (2WD) dan pacuan semua roda (4WD).
Pada bahagian luaran tidak banyak jauh berbeza dengan versi petrol. Masih lagi membawakan konsep KODO yang membawa maksud ‘jiwa dalam pergerakan’.
Tetapi ia menjadikan Mazda2 kelihatan menarik dengan gaya yang agresif dan garisan badan beralun yang ketara. Jika diperhatikan dengan teliti Mazda2 terlihat seperti sebuah Mazda3 dalam wujud yang lebih kompak.
Masuk ke dalam kabin, perbezaan paling ketara tentunya penggunaan bahasa Jepun yang digunakan pada skrin LCD 7-inci dan info pada meter.
Saya mengambil masa untuk menyesuaikan diri mengendalikan butang Menu pada paparan skrin. Namun begitu, saya masih boleh 'meneka' kerana sistem yang ditawarkan masih sama dengan Mazda3. Cuma isu utamanya perbezaan bahasa.
Apa yang boleh saya ringkaskan kabin Mazda2 cukup eksklusif. Kemasan kulit digunakan pada tempat duduk dan stereng, sistem audio mempunyai pelbagai sambungan serta penggunaan material pada bahagian lain juga nampak berkualiti.
Tersedia juga tombol kawalan di konsol tengah. Tombol ini letaknya terjangkau oleh tangan pemandu mahupun penumpang depan. Bahkan peralatan standard head up display (HUD) pada papan pemuka di depan pemandu yang sejajar dengan mata cukup mudah. Pemandu dapat mengakses info tanpa harus menoleh.
Menyentuh aspek ruang, sekiranya berada di depan, anda akan terlupa bahawa Mazda2 sebenarnya adalah sebuah kenderaan segmen-B. Cuma, jika pemandu yang berketinggian 170 sentimeter (cm) akan menyumbang kepada ruang kaki sedikit terhad di belakang.
Tetapi, saya yang berketinggian 156cm sebagai pemandu dapat menawarkan ruang cukup selesa pada penumpang belakang.
Pemanduan optimum
Usai meneliti setiap perincian kabin. Saya melaraskan posisi duduk, lalu enjin dihidupkan dengan menekan butang penghidup di sebelah kiri stereng. Enjin diesel Mazda2 begitu memeranjatkan. Respons begitu baik saat pendikit dipijak.
Ia menyampaikan lonjakan kuasa pantas yang mana kehadiran tork mula dirasai antara 2000rpm dan 3000rpm. Menjadikan Mazda2 menerima tarikan cepat antara gear ketiga dan keempat.
Pemanduan di lebuh raya juga menyenangkan yang mana enjin cukup selesa pada putaran bawah-pertengahan.
Sekiranya anda terasa seperti memerlukan pemanduan yang lebih bersemangat, gunakan sahaja pedal shifter yang terdapat di belakang stereng. Ia memudahkan operasi mendaki bukit dan memotong kenderaan lain bagi memperoleh kuasa awal.
Mengemudi Mazda2 juga mudah menerusi stereng kuasa elektrik. Nisbah stereng adalah ringan dan tidak berubah keberatannya saat melayan selekoh.
Stereng juga mengarahkan anda dengan cepat sehingga menjadi yakin mengemudi kereta di kala mencelah dalam trafik padat dan melalui selekoh tajam.
Untuk tugasan harian ia cukup selesa. Ditambah keyakinan suspensi dalam menyerap permukaan jalan beralun dan berlubang dengan baik.
Kehadiran Mazda2 menetapkan satu tanda aras baharu dalam kelasnya dengan kemasan berkualiti dan ciri peralatan tertinggi pada harga berpatutan.
Tambahan, jika versi diesel Mazda2 dilancarkan, bakal memberi pilihan alternatif pada segmen hatchback kompak. Ia adalah salah satu model yang perlu ada dalam senarai pembelian anda. -Sinarharian
Post a Comment