Mungkin kerana itu tidak ramai pemain automotif memberi fokus dalam segmen tersebut. Sebaliknya bagi pihak Isuzu. Pengeluar dari negara matahari terbit berkenaan melihat satu peluang dalam segmen yang kurang berdaya saing itu. Mereka melihat segmen SUV di Malaysia berkembang lebih pantas.
Menurut Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia, Daisuke Ishida, segmen SUV di Malaysia berkembang pesat berbanding segmen lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, volum segmen tersebut meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu.
Kerana itu, Isuzu memilih membawa masuk MU-X yang dipasang dari kilang kemudahan Thailand. Sebenarnya, terdapat SUV Isuzu yang lain dikenali sebagai MU-7 yang dijual di Thailand dan beberapa negara lain. Tetapi disebabkan kitaran produk, Isuzu Malaysia memutuskan untuk tidak memperkenalkan model itu.
Tentunya kehadiran Isuzu MU-X bakal menyertai liga pesaing sedia ada seperti Toyota Fortuner, Ford Everest dan Mitsubishi Pajero Sport yang sememangnya direka secara tradisional agar lebih teguh dan berupaya menempuhi tugas lebih lasak.
Setelah meneliti setiap perincian luaran dan dalaman Isuzu MU-X, saya terlihat persamaannya dengan satu model Chevrolet.
MU-X memiliki rekaan sama dengan Chevy Trail Blazer. Walaupun penampilan luaran terlihat iras, namun susun atur kabin cukup serupa.
Hal ini kerana dalam pembangunan MU-X pihak Isuzu bekerjasama dengan General Motors (GM). Ia bukanlah satu perkara baharu kerana mereka memiliki sejarah usaha sama dalam model sebelum ini.
Bagi kes MU-X, GM mempunyai peranan utama dalam penggayaan luaran manakala kepakaran Isuzu digunakan dalam pembangunan platform dan kejuruteraan.
Sempena kedatangan model MU-X itu, pihak Isuzu Malaysia menganjurkan satu sesi pandu uji ke Cameron Highlands, Pahang. Pada program berkenaan juga turut diadakan taklimat produk oleh Pengarah dan Ketua Jurutera projek MU-X, Susumu Minami.
Menurut Susumi model SUV itu adalah terbitan daripada model terkini trak pikap Isuzu D-Max. Seperti mana model yang lain, tentunya bahagian platform diubah suai untuk menawarkan keselesaan lebih baik dengan adanya gelung spring di belakang dan bukannya leafspring.
Menyentuh soal powertrain, MU-X dijana enjin Isuzu 4JK1-TCX pengecas turbo DOHC. Menerusi kapasiti itu ia mampu menghasilkan kuasa 136PS dan tork 320Nm. Akan tetapi seperti pesaingnya yang lain, bagi meningkatkan kecekapan bahan api dan prestasi, Isuzu turut mengandalkan teknologi turbin yang dinamakan pengecas turbo intercool VGS (Variable Geometry System).
Walaupun memiliki enjin dan kapasiti yang sama dengan D-MAX 2.5, tidak bermakna prestasi MU-X adalah sebaik D-MAX yang lebih ringan.
Menjelaskan perkara tersebut, Susumu berkata beban yang akan dibawa oleh setiap kenderaan akan menyamai nisbah keseluruhan berat-kuasa.
Tentunya D-MAX adalah lebih ringan. Secara umumnya ia membawa beban lebih berat di bahagian belakang manakala beban MU-X biasanya akan kurang.
“Justeru itu, secara tidak langsung berat badan keseluruhan kedua-dua kenderaan mungkin akan menjadi sama.
” Jadi ekonomi bahan api kedua-dua kenderaan akan hampir sama ditambah MU-X yang mempunyai kelebihan kecekapan reka bentuk yang aerodinamik,” katanya.
Sudah pun berada di pasaran walaupun masih belum dilancarkan secara rasmi, MU-X boleh ditempah dengan pilihan pacuan 4×4 atau 4×2. Kedua-duanya dipadan transmisi automatik 5-kelajuan.
Pada sesi pandu uji tersebut pihak Isuzu menyediakan varian 4×4. Varian itu membolehkan pemindahan julat tinggi dan rendah untuk menampung apa jua keadaan.
Beralih pada penampilan, bahagian hujung depan MU-X memiliki persamaan dengan D-MAX tetapi dengan kemasan lebih premium. Bahagian depan terdiri daripada kluster unit lampu utama jenis projektor dan unit lampu tinggi yang diasingkan. Sementara lampu nyalaan siang LED didatangkan standard bagi varian 4x4.
Pada bahagian belakang, bukaan pintu but yang lebih tinggi dan luas memberikan akses maksimum ke kawasan kargo. Pintu but boleh dibuka dengan menekan butang elektronik yang tersembunyi di bahagian dalam selak.
Satu slip spoiler yang kecil pada bahagian atas cermin belakang 4x4 berfungsi menghasilkan pusaran angin untuk mengurangkan kotoran daripada mudah melekat pada skrin.
Masuk ke dalam kabin, tentunya MU-X adalah lebih luas berbanding D-MAX dengan tawaran tiga barisan kerusi. Jika anda memerlukan ruang kargo tambahan, lipat sahaja kerusi barisan ketiga. Ruang simpanan juga adalah satu ciri penting bagi SUV tujuh kerusi.
Pihak Isuzu menawarkan kira-kira 12 ruang pemegang cawan dan ruang pada papan pemuka boleh dibuka atas bawahnya untuk menyimpan barang.
Tersedia juga ruang simpanan untuk kaca mata hitam, payung dan port pengecas peranti mudah alih. Malah MU-X turut dilengkapi dengan soket pengecas di depan yang tersembunyi dalam petak simpanan dan satu di belakang but.
Berpeluang menjadi penumpang belakang, saya mendongakkan kepala. Selain menemui satu monitor yang boleh memainkan DVD, tersedia juga corong pendingin hawa bagi penumpang barisan kedua dan ketiga.
Ketika perjalanan pulang, seorang rakan media mencuba tempat duduk di barisan ketiga. Menurutnya keselesaan tempat duduk barisan ketiga adalah salah satu yang terbaik dalam kelas SUV. Tempat duduk berada pada ketinggian yang tepat di atas lantai dan menyediakan ruang kaki yang baik di belakang barisan kedua.
MENDAKI TANAH TINGGI CAMERON
Ketika perjalanan menuju ke Cameron Highlands, saya bersama rakan media lain melalui jalan yang sudah diaturkan. Bermula dari Kuala Lumpur kami menuju ke Raub seterusnya melalui laluan lama menuju ke Cameron Highlands.
Jalan yang diaturkan cukup menarik sesuai dengan tugas MU-X sebagai kruiser lebuh raya untuk perjalanan yang jauh atau bagi pemilik yang ingin melawati tapak pembangunan mahu pun perladangan.
Secara peribadi, pemanduan dinamik MU-X adalah baik yang mana ketika dipandu laju oleh seorang rakan media, saya masih boleh berasa selesa dan selamat.
Sistem stereng berkuasa memberikan kestabilan hala tuju yang lebih baik. Cuma kemasan kulit tempat duduk yang sedikit licin membuatkan saya terkadang menggelongsor ke tepi atau ke depan sekiranya pemandu menekan brek secara mengejut atau mengambil selekoh dengan laju. Justeru itu, adalah lebih baik penumpang belakang memasang tali pinggang keselamatan.
Cuma secara peribadi, diakui kekalahan MU-X adalah di sektor nadinya. Respons dari enjin yang dimiliki tidak menghantar tenaga dengan cepat pada saat di putaran bawah. Menurut saya, prestasi yang dihantar oleh D-Max adalah lebih baik.
Namun sisi positifnya, penumpang akan merasa selesa kerana MU-X memiliki bantingan yang empuk.
Tetapi perlu difahami keadaan jalan raya di Malaysia tidaklah rata sepanjang jalan. Ia bukanlah masalah talaan daripada suspensi. Ketika perjalanan dari Raub ke Cameron Highlands, keadaan jalan yang tidak sekata dan berlubang menjejaskan keselesaan di dalam kabin.
Apabila tiba giliran saya memandu menuju ke laluan bukit berselekoh, saya cuba menolak keras kenderaan. Jisim berat di bahagian hadapan adalah jelas apabila terjadinya understeer ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Tetapi ia adalah progresif dan kebanyakan pemandu akan dapat menarik semula kenderaan dengan mudah. Untung juga adanya Kawalan Kestabilan Elektronik yang bertugas menjaga kestabilan kereta saat mengalami understeer atau oversteer.
Bukan itu sahaja, tahap bunyi enjin juga rendah yang membuatkan perjalanan jauh begitu menyenangkan.. Ia adalah enjin yang baik dan ini adalah satu ciri kepakaran Isuzu.
Malah, MU-X juga patut berbangga apabila menyentuh tentang urusan bahan bakar. Ketika perjalanan pergi sejauh 300 kilometer, bahan bakar yang digunakan tidak mencecah separuh indikator minyak.
Cukup impresif. Bakal dilancarkan Jun ini, pihak Isuzu Malaysia membawa masuk sebanyak 400 unit MU-X bagi kumpulan pertama. Harga jualan bagi model MU-X 4x2 ialah RM151,944.56 dan MU-X 4x4 dijual pada harga RM164,969.84. Kedua-dua harga termasuk insurans dan caj GST.
Kehadiran MU-X dalam kelas SUV pertengahan memberikan satu lagi pilihan tambahan di dalam segmen yang secara jelas tidak mempunyai banyak pesaing. MU-X bukan sahaja mempunyai keupayaan melakukan tugas lasak tetapi juga memenuhi kehendak keluarga kini. -Sinarharian
Post a Comment