Justeru, ia menjadi satu tekanan buat pengeluar kereta bagi mencari penyelesaian baharu tanpa pertambahan kos dan mengorbankan.
Buat masa ini solusi terdekat dilihat ialah teknologi hibrid. Bagaimanapun ia masih mahal tambahan setelah pengecualian cukai kenderaan hibrid dihentikan.
Kerana itulah pihak pengeluar perlu mengubah teknologi sedia ada agar lebih relevan dengan permintaan kini.
Teknologi sedia ada dan tradisional berdasarkan enjin pembakaran dalaman (ICE) telah wujud selama beberapa dekad, sebenarnya sejak awal industri kereta.
Berbilion-bilion telah dilaburkan dan dibelanjakan untuk membangunkan, menambah baik dan memajukan enjin berkenaan.
Maka untuk membangunkan satu blok enjin baharu bermakna sejumlah pelaburan lebih besar diperlukan. Jadi masih ada banyak sokongan untuk ICE dan jurutera cuba yang terbaik untuk meningkatkan kecekapan bahan api serta mengurangkan emisi daripada enjin sedia ada itu.
Pendekatan Ford adalah menggunakan idea lama iaitu pengenalan campuran udara-bahan api tekanan tinggi untuk meningkatkan prestasi menggunakan pengecas turbo.
Dengan adanya suntikan turbo membolehkan enjin kecil menghasilkan kuasa lebih tinggi bahkan cekap bahan api. Aplikasi itu diperkenalkan menerusi teknologi Ecoboost oleh Ford. Di Malaysia model pertama yang tiba dengan teknologi EcoBoost ialah Mondeo.
Model ini bukanlah sesuatu yang baru kepada rakyat Malaysia kerana ia diperkenalkan akhir 2009. Sehingga kini, model kelas pertengahan itu dijual dengan enjin petrol 2.3 liter dan telah diterima dengan baik walaupun tanda harga adalah satu cabaran kepada Connexion Sime Darby Auto.
Seperti kebanyakan Ford, pengalaman pemanduan yang membuatkan ia berbeza daripada segi persepsi dan hanya pemilik Ford yang berpuas hati dan boleh menyangkal kenyataan bahawa Ford tidak bernilai dibeli.
Terkini, pasaran tempatan menerima sedan Mondeo baharu yang kemas dan sofistikated. Tidak sekadar itu, Mondeo generasi kelima itu juga merupakan salah satu model global terbaru Ford.
Seperti yang kita ketahui pengeluar yang didirikan oleh Henry Ford tersebut sedang mengaplikasikan strategi One Ford yang mana tiada lagi perbezaan daripada segi rekaan untuk sebuah produk yang dilancarkan di benua atau negara yang berbeza.
Profil sport coupe
Ini terbukti dengan rekaan luarannya yang persis Ford Fusion. Mondeo baharu memiliki profil sebuah jentera sport coupe menerusi garis bumbung yang rendah.
Kali pertama saya melihat dengan lebih dekat model tersebut ia tampil berbeza dengan model pesaing sedia ada di pasaran. Bahkan dengan warna Ruby Red menjadikan Mondeo cukup elegan dan menyerlah ketika berada di jalan raya.
Menyentuh setiap perincian di hujung jari bermula dari garisan sisi hud terus ke lampu depan dan gril trapezoidal yang mirip jentera keluaran Aston Martin cukup menggugat hati sesiapa sahaja.
Sehinggakan hud enjin juga terlihat sama. Cuma lampu utama Mondeo menggunakan adaptif LED Ford untuk meningkatkan pandangan pemandu ke kawasan sekelilingnya.
Profil sisinya pula direka supaya kelihatan menarik dari segi visualnya. Untuk bagian belakangnya, rekaan Fusion sangat kental terlihat. Mondeo baharu ini tetap menggunakan lampu belakang LED dengan bentuk lonjong yang cantik.
Usai membedah penampilan fizikal Mondeo, saya lantas masuk ke kabin. Terik mentari Ramadan lalu membuatkan saya ingin segera duduk masuk ke dalam kereta dan menghidupkan pendingin hawa automatik.
Setelah rasa sejuk mula memenuhi kabin dan melontarkan lelah, saya membetulkan posisi duduk mengikut keselesaan.
Pada ruang dalaman, pemandu boleh menikmati kabin yang sporty dan rasa seperti berada di dalam sebuah kokpit. Ia tampil dengan rekaan simetrikal yang mudah diakses oleh pemandu dan penumpang hadapan.
Di tengah konsol tersedia skrin sentuh 8 inci dan hab media yang membolehkan pemandu melakukan Ford SYNC dengan MyFord Touch. Ia adalah sistem hiburan yang dapat mengaktifkan ciri lain melalui perintah suara dan juga terdapat sambungan melalui Bluetooth atau USB.
Layar sentuh LCD 8 inci yang terdapat di kokpit tengah selain menampilkan sistem navigasi dan hiburan, juga mampu bertindak sebagai Wi-Fi hotspot untuk lima gadjet sekali gus yang dikuasakan Microsoft.
Malah untuk serasi dengan butang kawalan yang tersedia juga cukup mudah.
Tanpa butang yang banyak seperti mana jentera Volvo dan susunan ringkas memudahkan operasi. Bahkan tidak rumit buat mereka yang sudah berusia.
Keupayaan tiada tandingan
Lantas apa yang membezakan antara Fusion dengan Mondeo? Jawapannya ada pada bahagian mesin.
Jika Fusion ditawarkan dengan enjin bertenaga besar khas di Amerika, maka Mondeo ditawarkan dengan kapasiti bertenaga lebih kecil untuk mengejar kecekapan bahan bakar dan emisi rendah (seperti saya nyatakan pada ayat pengenalan).
Sedan tersebut dikuasakan enjin 2.0L EcoBoost® Ford yang berupaya menjana kuasa mencecah 240PS dan tork 345Nm. Penghantaran kuasa ke roda depan dibantu transmisi automatik SelectShift enam kelajuan dan pedal shifter.
Sepanjang dua hari memandu Mondeo pada hari bekerja sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam dapat saya simpulkan jentera Uncle Sam itu memberikan pengalaman pemanduan kelas pertama dengan ciri sofistikated dan prestasi, keselesaan dipertingkatkan.
Berada di dalam kabin cukup luas dan lapang yang memberikan banyak kebebasan bagi penghuni di depan mahu pun belakang. Enjin GTDi Ecoboost menghantar kuasa yang mencukupi dan sebaik penambahan kuasa terbina, Mondeo mampu membelah laluan lebuh raya sepantas 140 kilometer sejam.
Namun begitu di awal pergerakan terasa kehadiran turbo lag. Selepas itu Mondeo menawarkan prestasi yang mengagumkan.
Jentera itu memacu roda depan dengan kekecohan yang minimum. Dengan bantuan sistem stereng kuasa elektrik dapat menimbal semula tork steer dan gangguan lain seperti getaran dari roda tidak seimbang atau tepi jalan yang berjeriji.
Sistem ini mengekalkan tahap yang mengagumkan di hujung jari pemandu. Bahkan, jurutera Ford juga menghadirkan satu keseimbangan antara pemanduan dan pengendalian yang bertindak balas kukuh pada input pemandu ketika menyerap jalan yang tidak rata dan berbonggol. Mondeo lebih tenang.
Mondeo mengendalikan dengan baik bagi sebuah kereta yang besar; rasanya tangkas, beralih ke selekoh dengan penuh kesabaran, dan tetap stabil.
Walaupun roda yang lebih besar boleh membuat perkara yang sedikit gelisah di sekitar bandar. Stereng terlalu ringan dan tidak memberikan anda rasa secara langsung bagaimana keras tayar mencengkam, tetapi ia adalah tepat.
Bahkan, lebih intuitif saya mencatatkan penjimatan bahan api 8.2 liter setiap 100 kilometer bagi pemanduan bercampur di bandar. - Sinarharian
Post a Comment