Sejak 2010 hingga kini, kira-kira 80 peratus rupa Myvi 1.3L milik Elvin Yap Chee Siong, 27, ini sudah berubah.
Dek minat mendalam terhadap pelakon dan pengamal seni mempertahankan diri era 70-an, mendiang Bruce Lee, Elvin gigih menyampaikan 'seni' bertemakan idolanya itu. Menurutnya, minatnya terhadap ubah suai jentera itu bermula sebaik tamat sekolah, asalnya hanya mengikut rakan.
Untuk mencapai tahap jenteranya, wakil jualan syarikat swasta ini hanya bermula dari luaran dengan 'bermain' lampu LED dan stiker.
Tidak lama bertahan dengan rupa standard, Elvin memulakan projek beralih ke konsep ekstrem. Pertama dilakukan dengan mengaplikasikan airbrush (pistol sembur) pada keseluruhan badan jenteranya.
Untuk tujuan ini, Elvin memberikan idea dan kepercayaan penuh kepada pihak bengkel dipercayainya untuk menghasilkan lukisan mengikut 'elemen' Bruce Lee yang dipilih. Warna api dan emas - kuning, jingga, hitam dan sedikit putih menguasai.
Sekali pandang badan jenteranya terlihat seakan pemiliknya memasang bodykit berskru dan berbesi. Namun ia hanya dek sentuhan airbrush.
Keseluruhan luaran, tema ditonjolkan dengan wajah Bruce Lee. Ternyata gabungan Bruce Lee dan kuasa naga sangat serasi. Ia ketara pada pemasangan 'mata' pada lampu utama dengan eyelip naga. Pada bampar depan diletakkan tiga skrin LCD 3.5 inci.
Sisi keretanya juga dikuasai wajah heronya itu dengan berlainan aksi pada setiap pintu.
Selain side skirt, bagi 'nampak garang' Elvin menempatkan dua ekzos dummy di kiri dan kanan di bahagian belakang. Ekzos sebenar, sebetulnya diletakkan di bahagian bawah kereta.
Dia juga bijak menempatkan GT-wing di hujung bumbung belakang bagi menambah gaya. Sememangnya jenteranya ini semata-mata untuk autoshow, dua tingkap belakang tertutup separuh, manakala cermin belakang tertutup sepenuhnya dengan airbrush.
Hanya kerusi pemandu
Masuk ke kabin, sebaik pintu gunting dibuka, terlihat papan pemuka kustom. Melengkapkan fungsinya, terdapat enam meter timbul.
Elvin hanya menempatkan sebuah kerusi tunggal untuk pemandu. Paling ketara di ruang tengah seakan kekuda. Ruang dipenuhi gentian kaca timbul dan 'lekuk-lekuk berapi' dengan penguasaan warna kuning dan jingga.
Bagi ruang dalaman ini, turut dipasang sebuah LCD 19 inci dan 32 inci, 10 LCD bersaiz 3.4 inci dan dua televisyen 7 inci antaranya di belakang dan pintu.
Cukup teliti, ruang dalaman turut mendapat sentuhan airbrush corak berapi dan wajah Bruce Lee yang garang.
Melengkapkan jenteranya dengan konsep legenda pengamal seni bela diri itu, Elvin tidak lupa meletakkan 'besi limbasan' yang sinonim dengan peralatan pencak Bruce Lee, sebagai hiasan di kiri dan kanan pintu belakang.
Jika menjenguk dalam kabin, mata pasti tertarik melihat tong suspensi udara warna krom berkilat diletakkan di kabin belakang bahagian tengah.
"Kebiasaannya orang letak tong suspensi udara ini di belakang atau cuba menyembunyikannya, tetapi saya sengaja mahu menampakkannya.
"Lagipun ia memang agak mahal hingga mencecah harga RM9,000. Pada saya eloklah ia disimpan di sebelah dalam kabin," kata pemuda tinggal di Batu, Kuala Lumpur ini.
Elvin turut memberikan tumpuan pada sistem audio di ruang kargo. Dua woofer -4 mid di tengah, dua horn twiter, dua LCD 3.4 inci memenuhi ruangan itu. Turut diletakkan 8 mid pembesar suara termasuk di pintu.
Semuanya dikelola menggunakan suis ala dalam kokpit.
Lampu LED turut dipasang di sekeliling pintu masuk sebelah dalam dan luaran. Bagaimanapun Untuk jantung 'buah hatinya' ini, Elvin masih mengekalkan enjin standard.
Menurutnya, hingga kini kira-kira RM50,000 sudah dilaburkannya, namun tidak menolak masih ada penambahbaikan dan ubah suai akan dilakukan dalam masa terdekat. -SINARHARIAN

Post a Comment