Nampaknya KMSB begitu komited dengan rentak pasaran motosikal dan cara pengurusan sebaran media. Kebiasaannya, peluang menguji motosikal diberikan selepas pelancaran dan ketersediaan produk dalam pasaran.
Namun begitu, KMSB lebih terbuka pada hari ini untuk menganjurkan sesi tunggang uji sebelum model baharu tersedia dalam pasaran.
Perkara ini wajar dicontohi pengeluar dan pengedar jenama motosikal lain. Setiap komentar daripada pihak penguji adalah amat bernilai bagi pengguna sebelum mengeluarkan kos pembelian.
Pada hari yang dijanjikan, KMSB membawa barisan media tempatan ke Ipoh untuk menilai produk terbaharunya kali ini. Tiba di destinasi, program dimulakan dengan penerangan berkaitan spesifikasi terperinci yang terdapat pada Kawasaki Vulcan S.
Apa yang menarik tentang Vulcan S baharu ini? Pada pandangan peribadi penulis, perkara pertama yang paling menarik ialah tentang tag harga jualannya. KMSB menegaskan, walaupun terdapat pelbagai isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menjadi polemik hangat di mana-mana sumber media, Vulcan S tetap akan dijual tidak lebih dari RM30,000.
Rekaan segar
Faktor tarikan kedua terletak kepada rekaan badan yang lebih menarik dan tidak terlalu ‘tua’ buat sesetengah gaya jentera cruiser. Bentuk lampu utama yang lebih moden terletak kemas pada fork teleskopik 41mm.
Kami dimaklumkan, kekuatan produk Vulcan S baharu ini terletak kepada ciri ergo-fit untuk memberi manfaat keselesaan dan kestabilan tunggangan kepada pengguna.
Sebenarnya, tugas pengeluar motosikal jenis cruiser seakan-akan tukang jahit di mana mereka perlu mengutamakan kehendak si pemakainya.
Hal ini menunjukkan satu kesedaran yang baik buat Kawasaki untuk meletakkan faktor keperluan dan kehendak pelanggan sebagai keutamaan.
Mesra penunggang
Pertama kali duduk di atas pelana rendah Vulcan S, capaian hendal selesa dan ergonomik. Kedudukan tunggangan juga baik dengan kedudukan perehat kaki yang berada sedikit ke hadapan.
Menghidupkan enjin 650cc dua silinder selari, penulis tidak terlalu ghairah di atasnya kerana ‘feel’ tunggangan jentera cruiser ini tidak sehebat jentera yang menggunakan enjin V berkembar.
Enjin yang digunakan Vulcan S adalah sama yang digunakan kepada barisan model ER-6 dan juga Versys. Namun, enjin tersebut menerima tetapan baharu untuk penyesuaian karakter dan praktikaliti.
Penampilan Vulcan S dengan karakter enjin yang berkecenderungan ke arah sport, sedikit sebanyak memberi kesan kepada feel penulis untuk menyatakan ia seperti menghadapi satu enigma perwatakan bagi jentera easy-rider.
Setelah memahami sedalamnya, karakter enjin Vulcan S lebih mengutamakan praktikaliti penggunaannya terutama untuk kegunaan dalam bandar dan kegunaan harian.
Kadar gegaran pada enjin adalah minimum, tidak seperti enjin V tradisional yang kuat menggoncang lebih-lebih lagi pada kitaran enjin rendah. Pengagihan kuasa juga sempurna di seluruh julat dan anda mampu menikmati sehingga takat merah 9,000 rpm.
Pelbagai jenis corak jalan raya kami lalui sebelum berhenti rehat seketika di Tasik Raban. Sepanjang perjalanan, pengendalian Vulcan S di selekoh sempit wajar dipuji walaupun sistem suspensi belakang sedikit dirasakan agak lembut.
Ketika di pertengahan selekoh, ada kalanya penulis berasa kedudukan motosikal sudah cukup rendah untuk menyebabkan perehat kaki tersanggat pada jalan raya.
Namun, kedudukan perehat kaki langsung tidak mengganggu dan lebih menjamin tahap keselamatan penunggang.
Walaupun memiliki jarak antara roda yang panjang, Vulcan S ringan dan cukup mudah untuk dikendalikan. Prestasi daya penghentiannya juga berpadanan dengan jumlah kuasa enjin.
Secara keseluruhannya, penulis berasakan Vulcan S mempunyai banyak kelebihan selain daripada faktor harganya yang boleh dikatakan murah dalam pasaran. Antara yang menarik ialah dari segi ciri ergo-fit yang melengkapi kehendak pengguna, tahap pengendalian yang baik dan penggunaan bahan api yang ekonomi.
Post a Comment