SEJAK BMW X1 dilancarkan pada 2009 ia menjadi satu kejayaan terbesar buat BMW. Lebih daripada 730,000 unit X1 dijual secara global yang mana 40,000 daripada jualan tersebut merupakan pelanggan baharu di United Kingdom.

Terkini, BMW memperkenalkan generasi kedua X1 dan pendedahan itu tiga bulan lebih awal daripada rancangan penampilannya secara global di Frankfurt Motor Show akhir tahun ini.

Model baharu yang menggunakan kod nama F48 itu jelas mengekalkan ciri-ciri rekaan yang terdapat di dalam model keluarga X. Bahagian depan didefinisikan dengan rekaan gril kidney BMW yang lebih besar dan lubang udara tiga bahagian serta lampu depan berkembar bulat yang membentuk seperti rekaan ‘empat mata’.

Kemasan terakhir model itu dilengkapkan dengan lampu kabus di tepi bampar. Malah BMW X1 baharu turut didatangkan dengan lampu siang LED sebagai ciri standard.

Pada bahagian dalam, X1 mempersembahkan keseimbangan halus antara tumpuan pemandu dan keanggunan praktikal.

Permukaan rata pada panel instrumen dan kawalan konsol tengah direka condong ke arah pemandu, manakala kawalan yang terletak di bahagian bawah dibaluti dengan kemasan permukaan berkualiti tinggi dan dipisahkan daripada sebelah penumpang hadapan dengan bar baharu. Sementara itu, Paparan Kawalan Sistem Operasi iDrive didatangkan dengan skrin bersaiz 6.5 inci atau pilihan monitor bersaiz  8.8-inci di tengah papan pemuka.

Secara dimensi, X1 baharu telah berubah daripada segi ukuran yang mana ketinggiannya meningkat sebanyak 53 milimeter (mm). BMW mendakwa perubahan itu membantu meningkatkan keluasan kawasan kabin yang mana kedudukan penumpang lebih tinggi di atas jalan berbanding sebelumnya dengan tambahan 36mm di bahagian hadapan dan 64mm di belakang.

Bukan itu sahaja, seperti model 2 Series Active dan Gran Tourer, pihak BMW turut mengaplikasikan pakej enjin melintang yang secara signifikannya memberi lebih banyak ruang pada kabin X1. Ia memberi kelegaan pada penumpang belakang dengan 37mm ruang kaki.

Memudahkan urusan, kereta turut dipasang dengan pilihan tempat duduk belakang boleh laras yang menyumbang sebanyak 66mm ruang kaki tambahan berbanding model sebelumnya. Sementara itu, tempat duduk belakang  dengan nisbah lipatan 40:20:40 membolehkan tawaran ruang kargo meningkat sebanyak 1,550 liter.

Difahamkan BMW X1 tersedia dengan pilihan satu enjin petrol dan tiga enjin diesel dengan kapasiti enjin 2.0 liter pengecas turbo BMW. BMW X1 terdiri daripada empat varian iaitu xDrive20i, sDrive18d, xDrive20d dan xDrive25d. Bagi BMW X1 xDrive20i yang dijana enjin petrol ini mampu menghasilkan kuasa 192hp dan tork maksimum 280Nm yang mampu dicapai seawal 1,250rpm.

Sementara itu, enjin diesel baharu turut memberikan tarikan kuasa cemerlang dan meningkatkan kecekapan bahan api. Di bawah bonet BMW X1 xDrive25d, pengecas turbo pelbagai peringkat dengan geometri turbin pemboleh ubah memastikan penghantaran kuasa serta-merta.

Sistem suntikan unit tersebut beroperasi dengan tekanan maksimum 2,500bar. Dengan output maksimum 231hp dan tork puncak 450Nm boleh didapati di antara 1,500 dan 3,000rpm membolehkan xDrive25d mencapai 100 kilometer sejam dalam tempoh 6.6 saat
sahaja.

Bagi varian xDrive20d dan sDrive18d pula masing-masing menghasilkan kuasa 190hp dan 150hp dengan tork maksimum 400Nm dan 330Nm. Kesemua varian dipadankan dengan transmisi Steptronic 8-kelajuan bagi penghantaran kuasa yang lancar, kecekapan bahan api dan penukaran gear yang dinamik. Cuma sDrive18d dilengkapi standard dengan kotak gear manual 6-kelajuan.

Bakal dikeluarkan di kemudahan BMW di kilang Regensburg, pelancaran rasmi X1 dijadualkan pada Oktober 2015-Newspress. -Sinarharian



Post a Comment