HAKIKATNYA, cinta itu adalah satu perasaan yang dikurniakan Sang Pencipta kepada manusia tidak berbentuk, tetapi kehadirannya dapat dirasakan.

Kadangkala perasaan cinta itu wujud dengan tiba-tiba tanpa sebarang tanda sehingga tidak mampu untuk menafikannya.

Begitu juga keadaan penulis terhadap BMW 220i yang diuji baru-baru ini. Secara jujurnya, penulis tidak terlalu ‘minat’ dengan personaliti model 2-Series yang mungkin hanya sekadar mementingkan penggayaan dan status semata.

Ironinya, perasaan itu berubah menjadi sesuatu yang lebih manis selepas merasai sendiri pengalaman memandu jentera kompak sporty dua pintu ini.

Setelah menghabiskan beberapa hari bersama BMW 220i, penulis percaya pengeluar Jerman itu tidak pernah terkocoh-kocoh dalam menghasilkan varian baharu mereka. Dan ia terbukti apabila 220i ini memiliki hampir kesemua ciri keseronokan pada siri coupe keluaran BMW lain sebelum ini.

Gaya rekaan

Bercerita tentang konsep rekaan, hal itu menjadi begitu subjektif dan sudah tentu perspektifnya adalah berbeza-beza pada kaca mata setiap individu. Walaupun begitu, kebanyakan pendapat lebih menghargai bahasa rekaan yang dizahirkan pada 220i.

Pada awalnya, penulis masuk ke dalam ruangan kabin dengan sedikit keluhan, mungkin kerana faktor usia penulis yang tidak lagi membenarkan sendi-sendi bergerak dengan lebih fleksibel.

Akan tetapi, sebaik sahaja berada di dalamnya, penulis berpuas hati dengan tahap keselesaan dan suasana yang disediakan. Dengan kedudukan yang rendah dan kemasan berwarna merah pada beberapa bahagian, secara tidak langsung ia mewujudkan perasaan yang lebih berkecenderungan ke arah prestasi sports.

Kualiti binaan dan material yang digunakan jelas menunjukkan status premium jenama Bavarian tersebut. Konsol kawalan iDrive berserta paparan skrin di tengah-tengah fascia menambah faktor perincian eksklusif jentera yang berasaskan platform 1-Series ini.

Melihat ruangan penumpang di bahagian belakang, ia kelihatan sedikit terhad untuk menawarkan keselesaan. Tetapi hal tersebut seharusnya disingkirkan kerana jelas kewujudan jentera ini sudah pun mengorbankan ciri keselesaan penumpang belakang sejak di peringkat awal pembangunannya lagi.

Pengalaman memandu

Pertama kali memandu 220i dalam mod standard, tujahan kuasa sederhana yang disediakan sudah memadai daripada apa yang diharapkan.

Penggunaan kotak gear lapan kelajuan yang digunakan lancar dan sepadan dengan jumlah kuasa enjin dan berat kenderaan.

Selepas memahami karakter 220i, penulis dapat menyimpulkan dengan lebih awal bahawa jentera ini lincah, responsif dan memiliki banyak elemen keseronokan.

Menggunakan mod Sports selain mod Comfort dan EcoPro, penulis berterima kasih kepada teknologi yang cuba mengasingkan tahap prestasi enjin dan suspensi jentera kompak pacuan roda belakang ini.

Bertemankan kisah cinta di sepanjang pemanduan melalui lebuh raya utara selatan, 220i menyediakan tahap keselesaan yang baik. Sesekali, penulis memecut sehingga melebihi takat 200 kilometer sejam (km/j).

Pada kelajuan melebihi 180 km/j, penulis merasakan jentera sedikit ringan dan memerlukan tahap fokus yang lebih tinggi.

Merentasi perjalanan berliku menuju ke Cameron Highland, prestasi pengendalian di selekoh tajam benar-benar teruji. Prestasi suspensi yang tidak terlalu keras kadangkala menjadikan casis seakan fleksibel kepada tahap pergerakan keluar masuk di selekoh.

Sedikit menghiris suasana keceriaan, tahap olengan badan memberi sedikit kesan kepada penumpang di sebelah. Namun, penulis terpaksa mengendahkan hal tersebut, malah lebih puas menikmati respons stereng 220i yang cemerlang.

Secara keseluruhannya, penulis berpuas hati dengan apa yang dibawakan BMW pada 220i. Usah perlu bertegas kepada persepsi awal yang menganggap 220i hanya menumpukan penggunaan di dalam bandar, kini penulis menghargai elemen sports terutamanya tahap pengendalian untuk membawa memoir cinta ke sudut-sudut dunia luar bandar. - Sinarharian





Post a Comment