Personifikasi terkini BMW 1-Series dibina di atas formula terbaik model-model terdahulu demi menawarkan semangat baharu dalam segmen kenderaan kompak premium. Selaku satu-satunya kenderaan pacuan roda belakang dalam segmennya dengan agihan berat 50:50 dan memiliki aspek keseronokan pemanduan yang sebenar, BMW 1 Series serba baharu dipertingkatkan lagi dengan pakej M Sport secara standard.
Pakej itu terdiri daripada Kit Aerodinamik M, Stereng M dibalut kulit, rim aloi M Sport bersaiz 18 inci dan suspensi M Sport. Penambahan pakej standard tersebut adalah untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai jentera hatch sports premium sebenar dalam pasaran Malaysia.
Walaupun garis badan dan reka bentuk permukaannya memiliki semua rekaan tradisional sebuah BMW, bahagian hadapan jentera itu kini menampilkan rekaan baharu dengan lampu nyalaan siang LED.
Elemen gril kidney lebar dan lampu hadapan yang rata kini disepadukan untuk memberikan penampilan yang lebih dinamik pada bahagian hadapan. Ia juga digabungkan dengan ruang kemasukan udara lebih besar yang terletak pada bahagian bawah lampu utama.
Buat pertama kalinya, lampu utama LED dan Adaptive LED ditawarkan sebagai opsyen. Ciri itu berfungsi mengikut haluan dan mengadaptasi lampu tinggi berdasarkan kepada kondisi jalan pada setiap masa. Manakala pada bahagian belakang, lampu LED dengan reka bentuk L, rekaan pintu belakang dan bampar belakang baharu nyata menyerlahkan lagi penampilan keseluruhan BMW 1-Series.
Ruang dalaman BMW 120i M Sport serba baharu menggunakan tempat duduk dibalut kulit Alcantara dan upholsteri fabrik. BMW 1-Series baharu kini lebih menarik menerusi tambahan servis mobiliti baharu - BMW ConnectedDrive secara standard.
Aplikasi BMW Connected Drive membolehkan pemandu menggunakan pelbagai fungsi dengan mudah di samping sistem Professional Navigation bersama Touch Controller. Jentera itu memperoleh skrin monitor bersaiz 8.8 inci yang dipasang di tengah-tengah fascia mencerminkan karakter tipikal sebuah BMW yang berorientasikan keselesaan pemandu.
Jentera hatch baharu ini dikuasakan oleh unit enjin petrol empat silinder bersesaran 1.6 liter yang memiliki kuasa 130kW/177hp dan tork 250Nm. Teknologi BMW Twin Power Turbo yang ada padanya menawarkan maklum balas serta-merta, memiliki prestasi lebih baik pada julat rev rendah dan pada masa yang sama menjimatkan penggunaan bahan api.
BMW 120i M Sport mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 7.2 saat dengan kelajuan maksimum 222km/j. Manakala penggunaan bahan api secara puratanya cuma 5.9 l/100km dan emisi CO2 pada kadar 137g/km.
Satu lagi ciri BMW 120i M Sport serba baharu ialah Driver Experience Control yang menawarkan mod Sport sekali gus menjadikannya jentera paling dinamik dalam segmennya.
BMW 120i M Sport didatangkan dalam pilihan warna putih (Alpine White), hitam (Black Sapphire), perak (Glacier Silver), kelabu (Mineral Grey) dan juga biru (Estoril Blue).
Harga anggaran BMW 120i M Sport serba baharu (di atas jalan, tidak termasuk insurans bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had Selama Lima Tahun dan Program Servis Berjadual Secara Percuma BMW Malaysia) ialah RM219, 800 seunit. -Sinarharian
Post a Comment