UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan model kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah popular, Toyota Alphard dan Vellfire Serba Baharu untuk pasaran tempatan.

Presidennya, Datuk Ravindran K berkata, model generasi keempat itu kini dengan penambahbaikan ciri terkini serta kuasa enjin dengan pengecasan turbo dan kotak gear baharu.


"Alphard dan Vellfire terus menjadi penanda aras MPV mewah premium tujuh tempat duduk sesuai buat keperluan mobiliti golongan profesional, VIP dan keluarga yang menawarkan keselesaan maksimum," katanya.

UMWT menawarkan dua model pilihan menerusi Toyota Alphard 2.4T Executive Lounge dijual pada harga RM538,00 dan Vellfire 2.5 pada harga RM438,000 (semua harga atas jalan tanpa insurans).

Ia juga didatangkan dengan jaminan lima tahun pengeluar.

Untuk rekaan luaran ia masih kekal bentuk asas 'kotak' dengan rekaan hadapan menggunakan lampu utama LED, lampu membelok sequential dan lampu nyalaan siang (DRL).

Untuk mudah membezakan Alphard dan Vellfire ialah menerusi rekaan lampu hadapan dan belakang dengan model Alphard dilengkapi rekaan gril tiga dimensi.

Ruang kabin generasi keempat didatangkan dengan ciri lebih selesa terutama penumpang belakang.

Bagi kerusi kapten pula, ia dilengkapi sistem pemanasan, pengudaraan dan urutan serta bumbung panorama.

Sistem keselamatan dengan Toyota Safety Sense menawarkan ciri Kawalan Pelayaran Radar Dinamik, Amaran Keluar Laluan, Bantuan Tanda Jalan dan Sistem Pancaran-Tinggi Adaptif yang dipertingkat.

Kedua-dua model didatangkan dalam empat warna iaitu Platinum Putih Mutiara, Metal Precious, Precious Leo-Blond (Alphard sahaja) dan Hitam.

-Hmetro

Post a Comment