Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memperkenalkan Nissan Navara – Siri Hitam baharu yang hadir dengan kemas kini yang dilakukan pada bahagian luaran. Perubahan berkenaan sekali gus menyerlahkan penampilannya sebagai sebuah ‘The Ultimate Pickup’.

Kemas kini berkenaan ditawarkan bagi varian VL, V dan SE. Edisi Siri Hitam berkenaan diserlahkan menerusi semburan cat hitam matte pada bahagian gril depan, penutup eyelid lampu utama, bampar depan, perumah lampu kabus hitam, perumah cermin sisi, overfender depan dan belakang, sport bar serta lantai kargo.

Selain itu, kombinasi tempat duduk turut didatangkan dengan kemasan kulit berwarna hitam yang memberikan ambien mewah pada ruang dalaman.

“Komponen-komponen yang dihitamkan adalah trend baru dan sememangnya membuatkan Nissan Navara – Siri Hitam baharu lebih menyerlah.

Navara masih menawarkan prestasi pemanduan yang dinamik. Varian VL dilengkapi enjin turbo diesel intercooler bersesaran 2.5 liter yang mampu menghasilkan kuasa 190PS dan 450Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan yang pertama dalam kelasnya bersama mode manual untuk pecutan lebih lancar.

Navara menjadi trak pikap Jepun pertama di Malaysia dipasang dengan sistem suspensi Multi-Link di belakang yang menawarkan tahap keselesaan dan pengendalian seperti sebuah SUV. Ia juga merupakan satu-satunya trak pikap yang menggunakan tempat duduk Sifar Graviti yang membantu mengurangkan keletihan pemandu dalam perjalanan jauh.

Harga jualan model Nissan Navara Siri Hitam bagi varian VL ialah RM124, 800 dan RM115, 800 bagi varian V. Manakala varian SE dijual pada harga RM108, 800 seunit. Harga berkenaan tidak termasuk insurans.

-Sinarharian

Post a Comment