Jika menilai harganya, mungkin ada mengatakan ia mahal berbanding MPV lain yang dijual di pasaran ketika ini. Tetapi sebenarnya anda mungkin silap kerana ia mempunyai nilai yang cukup berbaloi untuk dimiliki sesuai dengan harga yang ditawarkan.
Aspek Keselesaan
Berkesempatan memandu uji Toyota Sienta, penulis mengambil peluang beriadah bersama keluarga dengan destinasi tumpuan sekitar Melaka dan Port Dickson pada hujung minggu.
Menjengah ruang kabinnya, terdapat dua ciri yang penulis tertarik untuk dikongsi iaitu kombinasi warna tempat duduk selain kerusi barisan belakang boleh diubah empat posisi mengikut keperluan yang pastinya sesuai dijadikan kenderaan pemanduan hujung minggu bersama keluarga atau harian.
Dari segi keselesaan, kerusi barisan kedua mempunyai ruang kaki yang cukup luas dan selesa buat penumpangnya. Namun, tempat duduk barisan ketiga sedikit sempit. Hanya sesuai buat anak kecil.
Bagi unit pandu uji varian tertinggi, ia dilengkapi lampu Bi-LED di bahagian hadapan, manakala belakang tampak berbeza dengan lampu ciri LED selain dihiasi rim aloi bersaiz 16 inci.
Penuh Hiburan
Toyota Sienta ini juga dilengkapi pintu gelongsor automatik pada kedua-dua bahagian seolah-olah MPV mewah. Pintu ini mempunyai ciri keselamatan yang mana ia akan berhenti secara automatik sekiranya terhalang.
Ia juga dilengkapi sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan didatangkan Paparan Multi-Informasi berwarna saiz 4.2. Malah varian itu sarat dengan kemudahan sistem hiburan DVD-AVX skrin sesentuh 6.8 inci yang turut dilengkapi perakam video digital untuk membantu merakam situasi sekiranya berlaku kemalangan.
Pemandangan Jelas
Jentera ini menyalurkan 107PS pada 6,000rpm dengan tork setinggi 140Nm pada 4,200rpm. Penghantaran kuasa ke roda ditugaskan kepada transmisi CVT.
Sepanjang memandu jentera ini, prestasi ditawarkan cukup sempurna terutamanya ketika meluncur laju di lebuh raya pada kelajuan antara 110 sehingga 130 kilometer sejam (km/j).
Posisi tempat duduk pemandu yang tinggi turut menyenangkan penulis melihat pemandangan hadapan lebih jelas. Namun, suspensi yang lembut mungkin tidak sesuai untuk melayan selekoh atau memandu pada kelajuan maksimum kerana ia rasa sedikit bergoyang dan bukan ditala untuk pemanduan agresif.
Dari segi keselamatan Toyota Sienta boleh dianggap terbaik apabila dilengkapi kawalan kestabilan kenderaan (VSC), kawalan tarikan (TRC), kawalan bantuan pemula menaiki bukit (HAC) sistem brek antikunci (ABS) dan tiga beg udara.
-Sinarharian
Post a Comment