Apa yang membezakan model baharu ini dengan generasi sebelumnya terletak di bawah hud Cerato Koup. Pengeluar kenderaan Korea itu meletakkan enjin 1.6 liter Turbo T-GDI 4-silinder (enjin sama ditemui pada Veloster Turbo) yang mampu menghasilkan kuasa 204PS pada 6,000rpm dan 265Nm yang diperoleh seawal 1,750 sehingga 4,000rpm.
Penghantaran kuasa lancar dibantu dengan kotak gear enam kelajuan automatik sebagai standard. Angka berkenaan membolehkan Cerato Koup memecut dari sifar sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 7.4 saat dengan kelajuan maksimum 222 km/j.
Generasi terdahulu menggunakan enjin 2.0 liter Theta II yang menghasilkan kuasa 156 PS pada 6,200 rpm dan tork 194 Nm pada 4,300 rpm.
Bagi membezakan ia dengan Cerato sedan, pihak Kia menampilkan Koup menerusi gril atas yang lebih langsing dan gril bawah lebih besar bersama kemasan karbon fiber.
Selain itu, lampu kabus Koup juga lebih besar ditambah perumah cermin sisi dan hendal pintu berwarna hitam berkilat. Beralih ke belakang, lampunya lebih bersegi dan bampar belakang dengan rekaan seperti peresap dilengkapkan dengan paip ekzos berkembar.
Peralatan standard yang ditawarkan pada Koup antaranya ialah lampu xenon dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, rim aloi 18-inci, keyless entry, butang push start, kamera undur, sensor parkir depan dan belakang, kawalan pendingin hawa dua zon dengan kluster ioniser, paparan LCD Supervision 4.2-inci, kerusi kemasan kulit dengan pemanasan dan bumbung matahari.
Untuk ketenangan minda pemilik, pihak Kia menawarkan perlengkapan keselamatan pasif dan aktif antaranya enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan penghidup bukit serta Isofix.
PANDU UJI RINGKAS
Sebelum dilancarkan secara rasmi, pihak Naza Kia memberi peluang kepada media automotif untuk memandu jentera berkenaan. Setiap organisasi diberi peluang selama sejam memandu Cerato Koup bermula dari One Utama ke Publika menggunakan dua jalan berbeza.
Oleh kerana giliran saya pada sebelah malam dan menjadi insan kedua terakhir pada hari pertama, saya tidak mengikut laluan perjalanan ditetapkan dan memilih mengikut laluan sendiri.
Ketika membuka pintu Cerato Koup saya menyedari saiz pintunya lebih panjang. Konfigurasi itu memudahkan urusan masuk dan keluar. Malah tali pinggang keledar juga mudah dicapai dan ditarik ke depan.
Pada pemanduan sekitar lebuh raya dengan keadaan trafik yang sedikit lega memberikan ruang kepada saya membuka pendikit Cerato Koup dengan luas.
Walaupun Cerato Koup diberkati dengan enjin T-GDI, terdapat gejala turbo lag di saat ingin memulakan perjalanan dan ketika pendikit dipijak untuk mendapatkan kelajuan. Enjinnya cukup halus namun tiada rasa rangsangan yang membolehkan ia pergi lebih cepat.
Pengumpulan kelajuan mampu dijangka dan diukur pada Cerato Koup. Penghantaran kuasa ke roda depan menerusi transmisi enam kelajuan automatik adalah santai. Kia mampu memecut laju namun tidak garang. Jika anda menginginkan satu rasa seperti sebuah Golf GTI, ia tiada pada Kia Cerato Koup.
Ketika melaju di laluan terbuka dan melalui selekoh, stereng Cerato Koup tidak menghadirkan respons yang konsisten. Tetapi dengan adanya sistem Flex Steer pada stereng membolehkan pemandu memilih mod pengendalian sama ada Comfort, Normal dan Sport mengikut keselesaan.
Post a Comment